Penolong-penolong pengadil membantu pengadil untuk mengawal permainan menurut Undang-undang Permainan. Mereka juga membantu pengadil dalam semua perkara berkaitan dengan pelaksanaan perlawanan menurut permintaan dan arah pengadil. Perkara-perkara lazim meliputi:
• memeriksa padang permainan, bola yang digunakan dan peralatan pemain
• menentukan masalah berkaitan kelengkapan atau pendarahan telah diatasi
• memantau prosedur penggantian
• menyimpan catatan berkaitan dengan masa, jaringan dan kesalahan kelakuan tidak bersopan
Posisi dan kerjasama
1. Sepak mula
Penolong pengadil mesti berada selari dengan pemain pertahanan kedua terakhir.

2. Posisi am semasa perlawanan
Penolong pengadil mesti berada selari dengan pemain pertahanan kedua terakhir atau bola jika ia lebih hampir dengan garisan gol dari pemain pertahanan kedua terakhir itu. Penolong pengadil mesti sentiasa menghadap padang permainan.

3. Sepakan gol
1. Penolong pengadil mesti memastikan bola berada di dalam kawasan gol dahulu
- jika bola tidak di tempatnya, penolong pengadil tidak bergerak dari posisinya, hubungan mata dengan pengadil dan angkat bendera
2. Setelah bola berada di kedudukan yang betul di dalam kawasan gol, penolong pengadil mesti bergerak ke bahagian atas kawasan penalti untuk memasikan bola keluar dri kawasan penalti (bola di dalam permainan) dan pemain penyerang di luar kawasannya:
- jika pemain pertahanan kedua terakhir yang membuat sepakan gol, penolong pengadil hendaklah berada di bahagian atas kawasan penalty
-
3. Akhirnya, penolong pengadil mesti berada di posisi untuk melihat ofsaid, yang menjadi keutamaannya

4. Penjaga gol melepaskan bola
Penolong pengadil mesti berada di posisi selari dengan bahagian atas kawasan penalti untuk memastikan penjaga gol tidak memegang bola dengan tangannya di luar kawasan penalti.
Setelah penjaga gol melepaskan bola, penolong pengadil mesti berada di posisi untuk melihat ofsaid yang menjadi keutamaannya.

5. Sepakan penalti
Penolong pengadil mesti berada di tempat garisan gol bertemu garisan kawsan penalti. Jika penjaga gol dengan sengaja bergerak dari garisan gol sebelum bola disepak dan gol tidak dijaringkan, penolong pengadil mesti mengangkat benderanya.

6. Sepakan dari tanda penalti
Seorang penolong pengadil mesti berada di tempat garisan gol bertemu garisan kawasan gol. Tugas utamanya ialah untuk memastikan bola melintasi garisan:
• ketika ia jelas bahawa bola telah melintasi garisan gol, penolong pengadil mesti melihat ke arah pengadil tanpa sebarang isyarat tambahan
• ketika gol telah dijaringkan tetapi ia tidak jelas sama ada bola telah melintasi garisan, penolong pengadil mesti angkat benderanya dahulu untuk mendapatkan perhatian pengadil dan kemudiannya mengesahkan jaringan itu.
Seorang lagi penolong pengadil hendaklah berada di bulatan tengah untuk mengawal pemain-pemain lain.

7. Situasi gol atau tidak gol
Ketika gol telah dijaringkan dan tiada was-was terhadap keputusan itu, pengadil dan penolong pengadil mesti membuat hubungan mata dan penolong pengadil hendaklah berlari dengan pantas 25 – 30 meter di garisan tepi ke arah garisan tengah tanpa mengangkat benderanya.

Ketika suatu jaringan dihasilkan tetapi bola kelihatan masih dalam permainan, penolong pengadil mesti mengangkat benderanya dahulu untuk menarik perhatian pengadil dan kemudiannya meneruskan prosedur jaringan gol biasa dengan berlari pantas 25-30 meter di garisan tepi ke arah garisan tengah.

Dalam keadaan ketika bola tidak melintasi garisan gol keseluruhannya dan permainan diteruskan seperti biasa kerana tiada gol dijaringkan, pengadil hendaklah membuat hubungan mata dengan penolong pengadil dan jika perlu berikan isyarat yang tidak ketara.
8. Sepakan penjuru
Kedudukan penolong pengadil untuk sepakan penjuru adalah di belakang bendera penjuru selari dengan garisan gol. Ketika di posisi ini dia mesti tidak mengganggu pemain yang membuat sepakan penjuru. Dia mesti memastikan bola diletakkan dengan betul di dalam lenguk penjuru.

9. Sepakan Percuma
Kedudukan penolong pengadil untuk sepakan percuma mesti selari dengan pemain pertahanana kedua terakhir supaya dapat memastikan garis ofsaid yang menjadi keutamaannya. Walau bagaimanapun, dia mesti bersedia untuk mengikut bola dengan bergerak di garisan tepi ke arah bendera penjuru jika bola ditendang terus ke gol.

Geraklaku
Secara amnya, penolong pengadil mesti tidak memberikan sebarang isyarat tangan yang ketara. Walau bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, isyarat tangan yang tidak ketara boleh memberikan sokongan yang bernilai kepada pengadil. Isyarat tangan ini perlu ada makna yang jelas. Maknanya hendaklah telah dibincangkan dan dipersetujui dalam perbincangan pra-perlawanan.
Teknik Larian
Secara amnya, penolong pengadil sepatutnya menghadap padang permainan semasa berlari. Pergerakan sisi ke sisi hendaklah digunakan bagi jarak yang dekat. Ini penting terutamanya semasa membuat keputusan ofsaid dan memberikan penolong pengadil suatu penglihatan yang lebih baik.
Isyarat ‘Beep’
Pengadil adalah diingatkan bahawa sistem isyarat ‘beep’ adalah isyarat tambahan yang digunakan, hanya bila perlu untuk mendapatkan perhatian pengadil.
Situasi ketika isyarat ‘beep’ adalah berguna termasuk:
• ofsaid
• kesalahan (di luar penglihatan pengadil)
• lontaran ke dalam, sepakan penjuru atau sepakan gol (keputusan kritikal)
• situasi jaringan (keputusan kritikal)
ISYARAT-ISYARAT PENOLONG PENGADIL


Teknik Bendera dan Kerjasama Sepasukan
Bendera penolong pengadil mesti sentiasa dapat dilihat oleh pengadil, terbuka dan tetap semasa berlari.
Ketika memberi isyarat, penolong pengadil mesti berhenti, menghadap ke padang permainan, membuat ‘eye contact’ dengan pengadil dan mengangkat bendera dengan pergerakan yang tetap (bukan gopoh atau berlebih-lebihan). Bendera adalah lanjutan dari tangan.
Penolong pengadil mesti mengangkat bendera dengan menggunakan tangan yang akan digunakan memberi isyarat seterusnya. Jika keadaan bertukar dan tangan sebelah lagi diperlukan untuk memberikan isyarat, penolong pengadil mesti menukarkan bendera ke tangan berikutnya di bawah paras pinggang.
Apabila penolong pengadil memberi isyarat bahawa bola di luar permainan, dia akan terus memberikan isyarat sehingga dilihat oleh pengadil.
Apabila penolong pengadil memberi isyarat untuk kelakuan ganas dan isyarat tidak dilihat dengan segera:
• jika permainan telah diberhentikan untuk tindakan disiplin diambil, permulaan semula mesti mengikut Undang-undang (sepakan percuma, sepakan penalti dan sebagainya)
• jika permainan telah dimulakan semula, pengadil masih boleh mengambil tindakan disiplin tetapi tidak menghukum kesalahan itu dengan sepakan percuma atau sepakan penalti.
Lontaran ke dalam
Apabila keseluruhan bola melintasi garisan tepi hampir dengan posisi penolong pengadil, dia mesti memberikan isyarat terus menunjukkan arah lontaran ke dalam.
Apabila keseluruhan bola melintasi garisan tepi jauh dari posisi penolong pengadil dan keputusan itu pasti ialah lontaran ke dalam, penolong pengadil mesti memberikan isyarat terus menunjukkan arah lontaran itu.
Apabila keseluruhan bola melintasi garisan tepi jauh dari posisi penolong pengadil tetapi bola seolah-olah masih dalam permainan atau jika penolong pengadil berasa was-was, dia mesti mengangkat bendera dahulu untuk memberitahu bahawa bola telah keluar, hubungan mata dengan pengadil dan ikut isyarat pengadil.
Sepakan Penjuru / Sepakan Gol
Apabila keseluruhan bola melintasi garisan gol hampir dengan posisi penolong pengadil, dia mesti isyarat terus dengan tangan kanannya (penglihatan yang lebih jelas) untuk menunjukkan sama ada sepakan gol atau sepakan penjuru diberi.
Apabila keseluruhan bola melintasi garisan gol jauh dari posisi penolong pengadil tetapi bola seolah-olah masih dalam permainan, penolong pengadil mesti terlebih dahulu mengangkat bendera untuk memberitahu bahawa bola berada di luar permainan, kemudiannya menunjukkan sama ada sepakan gol atau sepakan penjuru diberi.
Apabila keseluruhan bola melintasi garisan gol jauh dari posisi penolong pengadil, penolong pengadil mesti mengangkat bendera untuk memberitahu pegadil bahawa bola berada di luar permainan, hubungan mata dengan pengadil dan ikut keputusan pengadil. Penolong pengadil boleh juga memberikan isyarat terus jika keputusannya pasti.
Ofsaid
Tindakan pertama penolong pengadil selepas suatu keputusan ofsaid ialah mengangkat benderanya. Dia kemudiannya menggunakan bendera untuk menunjukkan kawasan padang tempat kesalahan berlaku.
Jika bendera itu tidak dilihat dengan segera oleh pengadil, penolong pengadil mesti mengekalkan isyarat itu sehingga ia diterima atau bola jelas dikawal oleh pasukan pertahanan.
Bendera mesti diangkat dengan tangan kanan, penglihatan lebih jelas kepada penolong pengadil.
Penggantian
Apabila mengurus penggantian, penolong pengadil mesti terlebih dahulu dimaklumkan oleh pegawai keempat. Penolong pengadil mesti mengangkat isyarat ketika perberhentian perlawanan yang berikutnya. Penolong pengadil tidak perlu bergerak ke garisan tengah ketika pengawai keempat melaksanakan prosedur penggantian.
Jika tidak terdapat pegawai keempat, penolong pengadil mesti membantu dalam prosedur penggantian. Dalam hal ini, pengadil mesti menunggu sehingga penolong pengadil berada di posisinya sebelum memulakan semula permainan.
Kesalahan-kesalahan
Penolong pengadil mesti mengangkat bendera apabila kesalahan-kesalahan atau kelakuan tidak bersopan berlaku berdekatan atau di luar penglihatan pengadil. Dalam semua situasi lain, dia mesti menunggu dan memberikan pendapatnya jika diperlukan. Jika keadaan sedemikian, penolong pengadil mesti melaporkan apa yang dia telah lihat dan dengar dan pemain-pemain mana yang terlibat kepada pengadil.
Sebelum memberikan isyarat untuk sesuatu kesalahan, penolong pengadil mesti menentukan bahawa:
• kesalahan itu di luar penglihatan pengadil atau penglihatannya telah terhalang
• pengadil tidak akan melaksanakan advantej jika dia melihat kesalahan itu
Apabila sesuatu kesalahan atau kesalahan tidak bersopan berlaku, penolong pengadil mesti:
• mengangkat bendera dengan tangan sama yang akan digunakan untuk isyarat berikutnya, ini memberi petunjuk yang jelas kepada pengadil kepada siapa kesalahan itu telah dilakukan.
• hubungan mata dengan pengadil
• menggerakkan sedikit bendera itu (elakkan pergerakan yang keterlaluan atau agresif)
• gunakan isyarat ‘beep’ elektronik, jika perlu
Penolong pengadil mesti menggunakan ‘teknik tunggu dan lihat’ untuk membenarkan permainan diteruskan dan tidak mengangkat bendera ketika pasukan yang dikasari akan mendapatkan keuntungan darinya. Dalam hal ini, adalah penting untuk penolong pengadil membuat hubungan mata dengan pengadil.
Kesalahan-kesalahan di luar kawasan penalti
Apabila sesuatu kesalahan berlaku di luar kawasan penalti (berhampiran dengan sempadan kawasan penalti), penolong pengadil membuat hubungan mata dengan pengadil untuk melihat posisi pengadil dan apa tindakan yang diambil. Penolong pengadil mesti berdiri selari dengan kawasan penalti dan mengangkat bendera jika perlu.
Dalam situasi serang balas, penolong pengadil seharusnya boleh memberikan maklumat sama ada kesalahan itu telah berlaku dan sama ada telah dilakukan di dalam atau di luar kawasan penalti, yang menjadi keutamaan dalam apa juga keadaan dan tindakan disiplin yang hendaklah diambil.
Kesalahan-kesalahan di dalam kawasan penalti
Apabila sesuatu kesalahan berlaku di dalam kawasan penalti di luar penglihatan pengadil, terutama berhampiran posisi penolong pengadil, penolong pengadil mesti terlebih dahulu membuat hubungan mata dengan pengadil untuk melihat posisi pengadil dan apa tindakan yang telah diambil, penolong pengadil mesti mengangkat bendera ke atas dan gunakan ‘beep’ eletronik dan bergerak dengan jelas pada garisan tepi sehingga ke bendera penjuru.
Konfrontasi ramai
Dalam situasi konfrontasi ramai, penolong pengadil yang paling hampir boleh masuk ke padang permainan untuk membantu pengadil. Penolong pengadil yang lain mesti melihat dan mencatat butir-butir insiden itu.
Rundingan
Apabila mengurus isu-isu disiplin, hubungan mata dan isyarat tangan asas yang tidak ketara dari penolong pengadil kepada pengadil mungkin memadai dalam sesetengah kes.
Dalam keadaan yang memerlukan rundingan terus, penolong pengadil boleh bergerak 2 – 3 meter ke dalam padang jika perlu. Apabila bercakap, kedua-dua pengadil dan penolong pengadil mesti menghadap padang permainan untuk mengelakkan dari didengari orang lain.
Jarak benteng
Apabila sesuatu sepakan percuma diberi terlalu hampir dengan garisan tepi berdekatan posisi penolong pengadil, penolong pengadil boleh masuk ke padang permainan untuk membantu memastikan benteng diposisikan 9.15 m dari bola. Dalam hal ini, pengadil mesti menunggu sehingga penolong pengadil kembali ke posisinya sebelum memulakan semula permainan.