Jumlah Pelawat

Persahabatan itu seperti tangan dengan mata... Saat tangan terluka, mata menangis. Saat mata menangis tangan menghapuskannya ...

Selasa, Januari 27, 2009

UNDANG-UNDANG 12 – KESALAHAN-KESALAHAN DAN KELAKUAN TIDAK BERSOPAN

Keadaan-keadaan berikut hendaklah dipenuhi untuk sesuatu kesalahan ditentukan sebagai salah:
• ia dilakukan oleh pemain
• ia berlaku di dalam padang permainan
• ia berlaku apabila bola berada di dalam permainan

Jika pengadil memberhentikan permainan kerana kesalahan itu berlaku di luar padang permainan (apabila bola dalam permainan), permainan mesti dimulakan semula dengan jatuhan bola di kedudukan bola berada apabila permainan diberhentikan, kecuali permainan diberhentikan di dalam kawasan gol. Dalam hal ini, pengadil menjatuhkan bola di garisan kawasan gol yang selari dengan garisan gol berhampiran dengan tempat bola berada apabila permainan diberhentikan.

Cuai, gegabah, menggunakan daya yang berlebihan

“Cuai” bermaksud bahawa pemain menunjukkan kekurangan tumpuan atau pertimbangan apabila membuat rebutan atau dia bertindak tanpa was-was.
• Tiada tindakan disiplin diperlukan jika suatu kesalahan dianggap sebagai cuai.

“Gegabah” bermaksud bahawa pemain bertindak tanpa mengambil kira langsung bahaya atau implikasinya terhadap pemain lawan
• Pemain yang bermain secara gegabah mesti diberi amaran.

“Menggunakan daya yang berlebihan” bermaksud bahawa pemain melampau dalam penggunaan daya yang diperlukan dan mendatangkan bahaya untuk kecederaan pemain lawan.
• Pemain yang menggunakan daya yang berlebihan mesti diperintah keluar.

Merempuh pemain lawan

Tindakan merempuh adalah suatu rebutan untuk ruang dengan menggunakan sentuhan fizikal dalam jarak permainan tanpa menggunakan lengan atau siku.
Ia adalah suatu kesalahan untuk merempuh pemain lawan:
• secara cuai
• secara gegabah
• dengan menggunakan daya yang berlebihan

Memegang pemain lawan

Memegang pemain lawan termasuk tindakan menghalangnya bergerak melepasinya dengan menggunakan tangan, lengan atau badan.

Pengadil adalah diingatkan untuk membuat tindakan awal dan mengurus kesalahan-kesalahan memegang dengan tegas terutamanya di dalam kawasan penalti ketika sepakan penjuru dan sepakan percuma.

Untuk mengatasi situasi-situasi ini:
• pengadil mesti mencegah mana-mana pemain yang memegang pemain lawan sebelum bola berada dalam permainan
• memberi amaran kepada pemain jika kesalahan memegang itu berterusan sebelum bola berada dalam permainan
• berikan sepakan percuma terus atau sepakan penalti dan amaran kepada peman jika ia berlaku setelah bola berada dalam permainan

Jika pemain pertahanan mula memegang penyerang di luar kawasan penalti dan terus memegangnya di dalam kawasan penalti, pengadil mesti menghukumnya dengan sepakan penalti.


Tindakan Disiplin
• Amaran kerana berkelakuan tidak bersemangat sukan mesti diberikan kepada pemain yang memegang pemain lawan untuk menghalangnya mendapatkan bola atau bergerak ke posisi yang lebih menguntungkan
• Pemain mesti diperintah keluar jika dia menggagalkan suatu peluang jelas menjaringkan gol dengan memegang pemain awan
• Tiada tindakan seterusnya mesti diambil dalam situasi lain memegang pemain lawan.



Memulakan semula permainan
• Sepakan percuma terus dari tempat kesalahan berlaku (lihat Undang-undang 13 – Kedudukan Sepakan Percuma) atau sepakan penalti jika kesalahan itu berlaku di dalam kawasan penalti.


Memegang bola

Memegang bola melibatkan tindakan pemain yang sengaja membuat sentuhan pada bola dengan mengunakan tangan atau lengan. Pengadil mesti mengambil pertimbangan berikut:
• pergerakan tangan ke arah bola (bukan bola ke arah tangan)
• jarak di antara pemain lawan dengan bola (bola yang tidak dijangkakan)
• kedudukan tangan tidak semestinya bermaksud bahawa kesalahan berlaku
• menyentuh bola dengan objek yang dipegangnya (but, shinguard dll) dianggap sebagai suatu kesalahan
• memukul bola dengan objek yang dibaling (pakaian, shinguard dll.) dianggap sebagai suatu kesalahan


Tindakan Disiplin
Terdapat keadaan-keadaaan amaran diberi kerana kesalahan tidak bersemangat sukan diperlukan apabila pemain dengan sengaja memegang bola, contohnya apabila pemain:
• dengan sengaja dan jelas memegang bola untuk menghalang pemain lawan mengawal bola
• cubaan membuat jaringan dengan sengaja memegang bola

Walau bagaimanapun, pemain diperintah keluar jika dia menghalang suatu jaringan atau peluang jaringan yang jelas dengan memegang bola. Hukuman ini tertimbul bukan kerana tindakan pemain dengan sengaja memegang bola tetapi kerana gangguan tidak adil dan tidak boleh diterima yang menghalang suatu jaringan diperolehi.

Permulaan semula permainan
• Sepakan percuma terus dari kedudukan kesalahan berlaku (lihat Undang-undang 13 – Kedudukan Sepakan Percuma) atau sepakan penalti

Di luar kawasan penalti, penjaga gol mempunyai sekatan untuk memegang bola seperti pemain lain. Di dalam kawasan penalti, penjaga gol tidak dihukum kerana kesalahan memegang bola yang dihukum dengan sepakan percuma atau kesalahan tidak sopan kerana memegang bola. Walau bagaimanapun dia boleh dihukum kerana beberapa kesalahan memegang yang dihukum dengan sepakan percuma tidak terus.

Kesalahan-kesalahan oleh Penjaga Gol

Penjaga gol tidak dibenarkan untuk mengawal bola dalam tangannya lebih dari enam saat. Penjaga gol dianggap mengawal bola:
• semasa bola berada antara tangannya atau antara tangannya dengan mana-mana permukaan (contohnya, tanah, badannya)
• semasa memegang bola dengan tapak tangan terbuka
• semasa bertindak melantunnya ke lantai atau melambungkannya ke udara

Apabila penjaga gol telah mengawal bola di dalam tangannya, dia tidak boleh dirempuh oleh pemain lawan.


Penjaga gol tidak dibenarkan untuk menyentuh bola dengan tangannya di dalam kawasan penaltinya dalam keadaan-keadaan berikut:
• jika memegang bola semula setelah ia telah dilepaskan dari kawalannya dan belum disentuh oleh pemain lain
- penjaga gol dianggap telah mengawal bola dengan menyentuhnya dengan mana-mana tangan atau lengannya kecuali jika bola melantun darinya, contohnya , setelah dalam cubaan menyelamatkan golnya
- kawalan bola termasuk penjaga gol dengan sengaja menyentuh bola
• jika dia menyentuh bola dengan tangan setelah ditendang dengan sengaja kepadanya oleh rakannya
• jika dia menyentuh bola dengan tangan setelah menerimanya terus dari suatu lontaran ke dalam oleh rakannya.

Permulaan semula permainan
• Sepakan percuma tidak terus di tempat kesalahan (liha tUndang-undang 13 – kedudukan sepakan percuma)

Kesalahan-kesalahan terhadap Penjaga Gol
• Adalah menjadi satu kesalahan bagi pemain menghalang penjaga gol melepaskan bola dari tangannya
• Pemain boleh dihukum kerana bermain secara berbahaya jika dia menyepak atau cuba menyepak bola yang dipegang oleh penjaga gol dalam proses melepaskannya
• Adalah menjadi satu kesalahan untuk menyekat pergerakan penjaga gol dengan menghalangnya, contohnya semasa sepakan penjuru


Bermain secara berbahaya

Bermain secara berbahaya didefinisikan sebagai mana-mana tindakan semasa cuba memainkan bola, boleh mendatangkan kecederaan kepada orang lain (termasuk pemain itu sendiri). Ia dilakukan ketika pemain lawan berhampiran dan mengahalang pemain lawan memainkan bola kerana takutkan kecederaan.

Suatu sepakan ‘gunting’ atau ‘basikal’ adalah dibenarkan jika, pada pendapat pengadil ia tidak berbahaya kepada pemain lawan.

Bermain secara berbahaya tidak melibatkan sentuhan fizikal antara pemain. Jika terdapat sentuhan fizikal, tindakan itu menjadi suatu kesalahan yang boleh dihukum dengan satu sepakan percuma terus atau sepakan penalti. Dalam hal sentuhan fizikal ini, pengadil hendaklah berhati-hati untuk mempertimbangkan kemungkinan besar bahawa kelakuan tidak bersopan telah dilakukan.

Tindakan Disiplin
• Jika pemain bermain secara berbahaya dalam rebutan ‘biasa’, pengadil hendaklah tidak mengambil tindakan disiplin. Jika tindakan itu dibuat dengan risiko yang jelas untuk mencederakan, pengadil hendaklah memberi amaran kepada pemain itu.
• Jika pemain menggagalkan suatu peluang jelas menjaringkan gol dengan bermain secara berbahaya, pengadil hendaklah memerintah keluar pemain itu.

Permulaan semula permainan
• Sepakan percuma tidak terus di tempat kesalahan berlaku (lihat Undang-undang 13 – Kedudukan Sepaka Percuma)
• Jika terdapat sentuhan fizikal, kesalahan lain telah dilakukan yang dihukumkan dengan satu sepakan percuma terus atau sepakan penalti.

Menyekat pergerakan pemain lawan

Menyekat pergerakan pemain lawan bermaksud bergerak di laluan pemain lawan untuk menghalang, menghadang, memperlambatkan atau memaksa pemain lawan menukar arah semasa bola tidak dalam jarak permainan.

Semua pemain berhak kepada kedudukannya di dalam padang permainan, dengan berada di laluan pemain lawan tidak sama dengan bergerak ke arah laluan pemain lawan.

Menghadang bola adalah dibenarkan. Pemain yang meletakkan dirinya antara pemain lawan dengan bola atas sebab-sebab taktik tidak melakukan sesuatu kesalahan selagi bola berada dalam jarak permainan dan pemain itu tidak memegang pemain lawan dengan lengan atau badannya. Jika bola berada dalam jarak permainan, pemain itu boleh dirempuh dengan adil oleh pemain lawan.

Melambat-lambatkan permulaan semula permainan kerana kad diberi

Apabila pengadil memutuskan untuk melayangkan kad, sama ada amaran atau perintah keluar, permainan mesti tidak boleh dimulakan semula sehingga tindakan disiplin telah dilaksanakan.


Amaran kerana kelakuan tidak bersemangat sukan

Terdapat keadaan-keadaan yang berbeza apabila pemain mesti diberi amaran kerana berkelakuan tidak bersemangat sukan, contohnya, jika pemain:
• melakukan secara gegabah salah satu dari tujuh kesalahan yang dihukum dengan sepakan percuma terus
• melakukan kesalahan dengan tujuan taktik bagi mengganggu atau mematahkan suatu serangan yang baik
• memegang pemain lawan dengan tujuan taktik bagi menarik pemain lawan dari bola atau menghalang pasukan lawan mendapatkan bola
• memegang bola bagi menghalang pemain lawan mendapatkannya untuk mengaturkan serangan (selain daripada penjaga gol di dalam kawasan penaltinya).
• memegang bola dalam cubaan untuk menjaringkan gol (tanpa mengambil kira cubaan itu berjaya atau tidak)
• cubaan untuk menipu pengadil dengan melakonkan kecederaan atau berpura-pura dikasari (simulasi)
• menukar tempat dengan penjaga gol semasa bola dalam permainan tanpa kebenaran pengadil
• bertindak secara tidak menghormati permainan
• memainkan bola ketika bergerak keluar setelah diberi kebenaran untuk keluar dari padang permainan
• menggunakan suara, mengganggu pemain lawan semasa permainan atau ketika permulaan semula
• membuat tanda-tanda yang tidak dibenarkan di atas padang permainan
• menggunakan helah secara sengaja semasa bola dalam permainan untuk menghantar bola kepada penjaga golnya dengan menggunakan kepala, dada atau sebagainya untuk mempermainkan undang-undang, tanpa perlu diambil kira sama ada penjaga gol meyentuh bola dengan tangan atau tidak. Kesalahan ini dilakukan oleh pemain dalam cubaan untuk mempermain-mainkan maksud dan hakiki Undang-undang 12 dan permainan dimulakan semula dengan sepakan percuma tidak terus
• menggunakan helah yang sengaja untuk menghantarkan bola kepada penjaga gol bagi mempermain-mainkan Undang-undang ketika membuat sepakan percuma (setelah pemain diberi amaran, sepakan percuma mesti dibuat semula)

Meraikan sesuatu jaringan

Walaupun dibenarkan untuk mempamerkan kegembiraan semasa meraikan sesuatu jaringan, keraian ini mesti tidak boleh secara berlebih-lebihan.

Keraian yang munasabah adalah dibenarkan, tetapi melakukan koreograf keraian adalah tidak digalakkan kerana hasilnya pembuangan masa yang berlebihan dan pengadil diarahkan untuk menghalang dalam hal sedemikian.

Pemain mesti diberi amaran jika:
• pada pendapat pengadil, dia menggunakan geraklaku yang mengapi-apikan, menyinggung atau menimbulkan kemarahan
• dia memanjat pagar sempadan untuk meraikan jaringan yang dilakukannya
• dia menanggalkan baju atau menutup kepala dengan bajunya
• dia menutup kepala atau mukanya dengan topeng atau bahan yang serupa

Keluar dari padang permainan untuk meraikan sesuatu jaringan bukanlah suatu kesalahan yang diberi amaran tetapi adalah penting bahawa pemain dengan segera kembali ke padang permainan.

Pengadil adalah diharapkan untuk bertindak secara mencegah dan menggunakan budibicara dalam menangani kejadian meraikan sesuatu jaringan.

Membantah dengan perkataan atau perbuatan

Pemain yang bersalah kerana membantah (secara lisan atau tidak lisan) terhadap keputusan pengadil mesti diberi amaran.

Ketua pasukan tidak mempunyai status khusus atau keistmewaan di bawah Undang-undang Permainan tetapi dia mempunyai tahap tanggungjawab terhadap kelakuan pasukannya.

Melambat-lambatkan permulaan semula permainan

Pengadil mesti memberi amaran kepada pemain yang melambat-lambatkan permulaan semula permainan dengan taktik seperti:
• membuat sepakan percuma di tempat yang salah dengan tujaun memaksa pengadil mengarahkan sepakan dibuat semula
• seolah-olah akan membuat lontaran ke dalam tetapi tiba-tiba meninggalkannya kepada rakannya untuk mengambilnya
• menyepak bola atau membawa bola dengan tangan dari tempatnya setelah pengadil memberhentikan permainan
• melambat-lambat masa yang keterlaluan dalam lontaran ke dalam atau sepakan percuma
• bergerak keluar dari padang permainan secara perlahan-lahan apabila digantikan
• menimbulkan kemarahan dengan sengaja memegang bola setelah pengadil memberhentikan permainan

Kesalahan berulang-ulang

Pengadil hendaklah sentiasa berwaspada terhadap pemain yang berulang-ulang melakukan kesalahan Undang-undang. Terutamanya, mereka mesti sedar bahawa, walaupun jika pemain itu melakukan beberapa kesalahan yang berbeza, dia mesti diberi amaran kerana berulang-ulang melakukan kesalahan Undang-undang.

Tidak ada bilangan kesalahan yang ditetapkan yang membawa kepada “berulang-ulang” atau corak yang dipamerkan – ini adalah terpulang kepada keputusan yang mestilah ditentukan dalam pengurusan permainan yang berkesan.


Bermain secara amat kasar

Pemain bersalah kerana bermain dengan amat kasar jika menggunakan daya yang berlebihan atau keganasan terhadap pemain lawan apaila berebut untuk bola semasa bola dalam permainan.

Suatu takel yang membahayakan keselamatan pemain lawan hendaklah dihukum sebagai bermain dengan amat kasar

Mana-mana pemain yang menerjah ke arah pemain lawan dalam perebutan untuk bola dari hadapan, tepi atau belakang, menggunakan satu atau kedua-dua kakinya dengan daya yang berlebihan dan membahayakan keselamatan pemain lawan bersalah kerana bermain dengan amat kasar.

Advantej tidak boleh dilaksanakan dalam situasi yang melibatkan permainan amat kasar kecuali terdapat peluang jelas menjaringkan gol berikutnya. Pengadil hendaklah memerintah keluar pemain tersebut kerana bersalah bermain dengan amat kasar apabila bola berada di luar permainan berikutnya.

Pemain yang bersalah kerana bermain dengan amat kasar hendaklah diperintah keluar dan permainan dimulakan semula dengan satu sepakan percuma terus di tempat kesalahan berlaku (lihat Undang-undang 13 – Kedudukan Sepakan Percuma) atau satu sepakan penalti (jika kesalahan itu berlaku di dalam kawasan penalti pemain yang bersalah itu).

Keperluan asas untuk sesuatu kesalahan



Berkelakuan ganas

Pemain bersalah kerana berkelakuan ganas jika dia menggunakan daya yang berlebihan atau keganasan terhadap pemain lawan ketika tidak berebut untuk bola.

Dia juga berkelakuan ganas jika dia menggunakan daya berlebihan atau keganasan terhadap rakan sepasukan, penonton, pegawai perlawanan atau mana-mana orang lain.

Keganasan boleh berlaku sama ada di dalam atau di luar sempadan padang permainan, bola di dalam atau di luar permainan.

Advantej tidak boleh dilaksanakan dalam keadaan yang melibatkan kelakuan ganas kecuali terdapat peluang jelas menjaringkan gol terhasil berikutnya. Pengadil mesti perintah keluar pemain yang bersalah kerana berkelakuan ganas apabila bola seterusnya keluar dari permainan.

Pengadil adalah diingatkan bahawa kelakuan ganas lazimnya membawa kepada pergaduhan, oleh yang demikian dia mesti menguatkuasakan ini dengan campur tangan yang aktif.

Pemain, pengganti atau pemain yang telah digantikan yang bersalah kerana berkelakuan ganas mesti diperintah keluar.

Permulaan semula permainan
• Jika bola berada di luar permainan, permainan dimulakan semula mengikut keputusan sebelumnya
• Jika bola berada dalam permainan dan kesalahan berlaku di luar padang permainan:
- jika pemain itu telah berada di luar padang permaian dan melakukan kesalahan itu, permainan dimulakan semula dengan jatuhan bola di tempat bola berada apabila permainan diberhentikan, kecuali permainan diberhentikan di dalam kawasan gol, dalam hal ini pengadil hendaklah menjatuhkan bola di atas garisan kawasan gol yang selari dengan garisan gol yang berhampiran dengan tempat bola berada ketika permainan diberhentikan.
- jika pemain keluar dari padang permainan untuk melakukan kesalahan itu, permainan dimulakan dengan sepakan percuma tidak terus dari tempat bola berada apabila permainan diberhentikan (lihat Undang-undang 13 – Posisi Sepakan Percuma).
• Jika bola berada di dalam permainan dan pemain melakukan suatu kesalahan di dalam padang permainan:
- terhadap pemain lawan, permainan dimulakan semula dengan sepakan percuma terus dari tempat kesalahan berlaku (lihat Undang-undang 13 – Posisi Sepakan Percuma) atau sepakan penalti (jika berada di dalam kawasan penaltinya)
- terhadap rakan sepasukan, permainan dimulakan semula dengan sepakan percuma tidak terus dari tempat kesalahan berlaku (lihat Undang-undang 13 – Posisi sepakan percuma).
- terhadap pengganti atau pemain yang telah digantikan, permainan dimulakan semula dengan sepakan percuma tidak terus dari tempat bola berada apabila permainan diberhentikan (lihat Undang-undang 13 – Posisi Sepakan Percuma).
- terhadap pengadil atau penolong pengadil, permainan dimulakan semula dengan sepakan percuma tidak terus dari tempat kesalahan berlaku (lihat Undang-undang 13 – Posisi Sepakan Percuma).
- terhadap orang lain, permainan dimulakan dengan jatuhan bola di tempat bola berada apabila permainan diberhentikan, kecuali permainan telah diberhentikan di dalam kawasan gol, dalam hal ini pengadil hendaklah menjatuhkan bola di atas garisan kawasan gol yang selari dengan garisan gol yag berhampiran dengan tempat bola berada ketika permainan diberhentikan.

Kesalahan-kesalahan objek (atau bola) dilontar

Jika ketika bola di dalam permainan, pemain, pengganti atau pemain yang telah digantikan melontarkan objek kepada pemain lawan atau orang lain secara gegabah, pengadil hendaklah memberhentikan permainan dan beri amaran kepada pemain, pengganti atau pemain yang telah digantikan itu.
Jika ketika bola berada di dalam permainan, pemain, pengganti atau pemain yang telah digantikan melontarkan bola kepada pemain lawan atau orang lain dengan daya yang berlebihan, pengadil hendaklah perintah keluar pemain, pengganti atau pemain yang telah digantikan itu.

Permulaan permainan
• Jika pemain berdiri di dalam kawasan penaltinya melontarkan objek kepada pemain lawan yang berdiri di luar kawasan penaltinya, pengadil memulakan semula permainan dengan sepakan percuma terus kepada pasukan lawan di tempat objek itu terkena atau mungkin kena pemain lawannya
• Jika pemain berdiri di luar kawasan penaltinya melontarkan objek kepada pemain lawan yang berada di dalam kawasan penaltinya, pengadil hendaklah memulakan semula permainan dengan sepakan penalti.
• Jika pemain berdiri di dalam padang permainan melontarkan objek kepada mana-mana orang yang berada di luar padang permainan, pegadil memulakan semula dengan sepakan percuma tidak terus di tempat bola berada apabila permainan diberhentikan (lihat Undang-undang 13 – Posisi Sepakan Percuma)
• Jika pemain berdiri di luar padang permainan melontarkan objek kepada pemain lawan yang berada di dalam padang permainan, pengadil memulakan semula permainan dengan sepakan percuma terus kepada pasukan lawan di tempat objek itu mengenai atau mungkin mengenai pemain lawan atau dengan sepakan penalti (jika berlaku di dalam kawasan penalti pemain yang bersalah itu)
• Jika pengganti atau pemain yang telah digantikan yang berada di luar padang permainan melontarkan objek kepada pemain lawan yang berada di dalam padang permainan, pengadil memulakan semula permainan dengan sepakan percuma tidak terus kepada pasukan lawan, di tempat bola berada apabila permainan diberhentikan (lihat Undang-undang 13 – Posisi Sepakan Percuma)

Menggagalkan suatu jaringan atau peluang jaringan

Terdapat dua kesalahan perintah keluar yang berkaitan dengan insiden menggagalkan pemain lawan satu peluang jelas untuk menjaringkan gol. Adalah tidak diperlukan kesalahan itu berlaku di dalam kawasan penalti.

Jika pengadil melaksanakan advantej ketika peluang jelas menjaringkan gol dan gol telah dijaringkan, walaupun pemain lawan memegang bola atau mengkasari pemain lawan, pemain itu tidak boleh diperintah keluar tetapi masih boleh diberi amaran.

Pengadil hendaklah mengambil kira keadaan-keadaan berikut apabila membuat keputusan sama ada pemain diperintah keluar kerana menggagalkan suatu jaringan atau peluang jelas menjaringkan gol:
• jarak di antara kesalahan dengan gol
• kemungkinan mengawal atau menguasai bola
• arah tuju permainan
• kedudukan dan bilangan pemain pertahahan
• kesalahan yang menggagalkan pemain lawan peluang jelas menjaringkan gol mungkin adalah kesalahan yang dihukum dengan sepakan percuma terus atau tidak terus